JURULATIH baharu beregu wanita negara, Wong Pei Tty meminta semua pihak memberikan masa kepada pasangan muda untuk berkembang dan tidak mengharapkan gandingan sehebat Pearly Tan-M Thinaah muncul dalam tempoh singkat.
Menurutnya, Pearly-Thinaah sendiri melalui proses pembangunan antara empat hingga lima tahun sebelum mencapai tahap kompetitif seperti hari ini.
“Pearly-Thinaah juga bukan terbentuk dalam satu hari, sebaliknya memerlukan program selama empat hingga lima tahun untuk mematangkan dan membangunkan mereka sebelum hasilnya dapat dilihat.
“Jadi, kita juga perlu berlaku adil kepada pasangan lain kerana mereka baru muncul dalam tempoh satu atau dua tahun dan sudah tentu memerlukan lebih masa untuk dibentuk,”.
Pei Tty berkata, pendedahan di pentas antarabangsa penting bagi pemain muda untuk mengenal pasti jurang prestasi sebelum kelemahan itu diperbaiki menerusi latihan.
“Tidak kira pengalaman pertandingan atau pendedahan di peringkat antarabangsa, mereka perlu melihat sendiri jurang yang ada dan memahami perkara yang masih kurang dari segi kelajuan, kuasa, serangan serta teknikal.
“Mereka kemudian boleh kembali berlatih untuk memperbaiki kelemahan itu kerana tiada apa yang akan berlaku dalam satu hari,” katanya.
Bekas pemain beregu wanita nombor satu dunia bersama Chin Ee Hui itu berkata, beliau juga masih terlalu awal membuat penilaian menyeluruh terhadap skuad negara selepas baru memulakan tugas secara rasmi semalam.
Katanya, penilaian terhadap pemain senior turut belum dapat dilakukan berikutan mereka kini beraksi pada Masters China di Shenzhen.
Pei Tty kembali menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menamatkan tugas sebagai jurulatih pembangunan bakat di Singapura bulan lalu, dengan membawa pengalaman baharu dalam aspek kepimpinan dan pembangunan pemain.