Putrajaya: Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pertukaran majikan merentasi sektor penggajian, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketiga Belas, Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, sebelum ini kerajaan hanya membenarkan pertukaran majikan dalam sektor yang sama dengan syarat terdapat sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendalikan Jabatan Tenaga Kerja.
“Perubahan dasar ini akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada majikan dan pekerja asing.
“Tambahan pula, ia merupakan amalan baik yang disarankan oleh organisasi-organisasi antarabangsa berkaitan buruh dan telah diguna pakai oleh negara-negara maju yang lain,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo-COM) pekerja asing diperkasakan.
“Dengan persetujuan pada hari ini, majikan wajib untuk hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing sepertimana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.
“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, semua pihak dimohon supaya cakna terhadap ketetapan dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.
“Dalam hal ini, kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa,” katanya.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam bermula 3 petang itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni serta pegawai tinggi kementerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd