Pekerja bengkel ditahan curi alat ganti kenderaan milik majikan

Pekerja bengkel ditahan curi alat ganti kenderaan milik majikan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pekerja bengkel ditahan bagi membantu siasatan kecurian alat ganti kenderaan di sebuah bengkel di Taman Harmoni 2, Skudai, di sini, Khamis lalu.

Lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan di Taman Universiti, Skudai di sini, jam 11.25 malam, selepas polis menerima laporan pada 5.19 petang, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang juga pengurus bengkel terbabit berhubung kecurian alat ganti kenderaan di bengkel berkenaan.

“Susulan penahanan suspek, polis merampas enam set rim pelbagai jenis dan warna serta 14 kotak absorber pelbagai jenama dan jenis.

“Semua rampasan ini dianggarkan bernilai RM6,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik majikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top