am@hmetro.com.my
Butterworth: Pulau Pinang terus mencatat perkembangan pesat dalam industri halal negara apabila kini berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam jumlah pemegang Sijil Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) selepas Selangor dan Johor, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Menurutnya, setakat April lalu, 870 syarikat di Pulau Pinang berdaftar dan memiliki sijil halal aktif, merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan serta minuman, farmaseutikal, kosmetik, barangan pengguna, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan.
“Pencapaian ini hasil daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan industri halal melalui transformasi tadbir urus dan peningkatan kecekapan sistem pensijilan.
“Kerajaan negeri telah menambah kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri kepada dua kali sebulan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan menangani isu berkaitan pensijilan dengan lebih tuntas,” katanya pada Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP), di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Pulau Pinang menjadi negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri sebagai langkah membentuk ekosistem halal yang lebih sistematik dan berdaya saing.
Mohamad dalam perkembangan sama berkata, pelancaran MPIHPP bukan sekadar bersifat simbolik, malah memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam membina ekosistem halal yang menyeluruh daripada peringkat pengeluaran, pengedaran sehingga sampai ke tangan pengguna akhir.
“Kerajaan negeri komited menyediakan prasarana yang kondusif, dasar yang mesra pelabur serta sokongan teknikal dan latihan kepada semua pemain industri bagi memastikan ekosistem halal berkembang dengan pesat.
“Kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal dalam kalangan usahawan Bumiputera secara lebih signifikan kerana SPHM membolehkan mereka bersaing secara kompetitif di peringkat global, sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti tersebut,” katanya.
Katanya, inisiatif seperti program pembangunan kapasiti untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemadanan perniagaan halal dengan pemain industri global akan terus diperkasa.
Menurutnya lagi, penubuhan MPIHPP melibatkan kerjasama 25 jabatan dan agensi kerajaan seiring dengan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di peringkat Persekutuan, malah beliau yakin sinergi terjalin mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai antara peneraju industri halal global dalam tempoh beberapa tahun akan datang
© New Straits Times Press (M) Bhd