Pekerja pam minyak pengsan, bukan kena tembak

Pekerja pam minyak pengsan, bukan kena tembak

am@hmetro.com.my

Taiping: Polis menafikan hantaran yang tular di laman sosial kononnya berlaku kes tembak dan ragut membabitkan seorang pekerja stesen minyak di Batu 2 setengah, Simpang, disini, beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata susulan hantaran berkenaan, polis menjalankan siasatan dan menafikan kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berkenaan bukanlah seperti yang ditularkan tetapi seorang pekerja stesen minyak iaitu wanita mengalami masalah kesihatan dan terjatuh lalu pengsan di lokasi kejadian.

“Akibat perkara itu mangsa terhantuk ke lantai dan mengalami pendarahan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi polis menyeru orang awam agar tidak menyebarkan sebarang kejadian yang tidak tepat disamping tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat.

Terdahulu pada 20 September lalu, tular di laman sosial apabila seorang pekerja pam minyak berada dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top