saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Meskipun meraih pencapaian terbesar dalam karier mereka, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan terlalu meraikan kejayaan muncul juara Terbuka China, hari ini.
Ia bagi menghormati lawan mereka yang juga wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu yang sebenarnya tidak dapat beraksi pada tahap sebenar susulan kecederaan belakang dialami Xiang Yu sebaik tamat set pertama sehingga terpaksa menerima rawatan di tepi gelanggang.
Sze Fei berkata, ia bukan cara yang dimahukan olehnya sertai Izzuddin yang menewaskan lawan mereka itu 13-21, 21-12, 21-17 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
“Ini bukan cara yang kami mahukan untuk menang. Saya doakan Xiang Yu segera pulih,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Semasa perlawanan, kami hanya fokus pada prestasi kami sendiri,” katanya lagi.
Dengan kemenangan itu, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai lumayan AS$148,000 (RM622,000) manakala Ji Ting-Xiang Yu selaku naib juara meraih AS$70,000 (RM294,000).
Pencapaian itu juga menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menamatkan kemarau 35 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada edisi 1989.
Selepas menjuarai Terbuka Jepun pada 25 Ogos lalu, kejayaan kali ini pastinya lebih bermakna kepada pasangan negara itu kerana kali pertama mereka muncul juara kejohanan bersatus Super 1000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




