KUALA LUMPUR: Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat merekodkan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion setakat ini dengan lebih 250,000 rakyat Malaysia memilih produk berkenaan sejak diperkenalkan pada 2022.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pencapaian itu mencerminkan penerimaan pelanggan terhadap instrumen pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100.
“Bank Rakyat mahu lebih ramai lagi rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan melalui langkah yang mudah, konsisten dan patuh Syariah, sejajar dengan aspirasi #UntukSemua.
“Justeru, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus merupakan instrumen pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100 bagi membantu pelanggan membentuk tabiat kewangan yang lebih sihat,” katanya pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.
Katanya, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10.8 juta, termasuk hadiah RM100,000 menerusi Cabutan Anggota dan RM20,000 bagi Cabutan Bulanan.
“Setiap hadiah yang disampaikan bukan sekadar satu ganjaran semata-mata, tetapi merupakan tanda penghargaan kami kepada pelanggan yang telah memilih Bank Rakyat sebagai rakan kewangan mereka,” katanya.
Beliau berkata, sejak Rizq Plus diperkenalkan pada 2022, seramai lima pelanggan telah bergelar jutawan menerusi Cabutan Jutawan Rizq Plus.
Terbaharu, pesara berusia 68 tahun dari Kajang, Selangor, Aziz Mohamed, muncul sebagai jutawan Bank Rakyat yang kelima menerusi cabutan berkenaan.
Menurut Mohd Irwan, peluang untuk bergelar jutawan menerusi Rizq Plus masih terbuka apabila Cabutan Jutawan seterusnya pada Oktober ini menawarkan hadiah RM1 juta kepada seorang pemenang.
Dalam perkembangan sama, Kempen Suara Hati 2026 menyaksikan Awang Ahmad Khadar Awang Zainal, 40, dari Mukah, Sarawak muncul pemenang tempat pertama dan berjaya membawa pulang sebuah Toyota Fortuner.
Kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 30 April lalu bersempena Ramadan dan Syawal itu berkonsepkan langgan dan menang, membabitkan produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Pembiayaan Perumahan-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i.
Empat lagi pemenang menerima hadiah wafer emas seberat 50 gram, 30 gram dan 20 gram serta kelengkapan rumah bernilai RM10,000, manakala 65 pemenang sagu hati menerima RM500 yang dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.
Mohd Irwan berkata, Kempen Suara Hati menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM300,000.
“Pada masa hadapan, Bank Rakyat kekal komited menawarkan penyelesaian kewangan yang relevan, mudah diakses dan benar-benar memberi nilai kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Komitmen itu mencerminkan makna #UntukSemua yang menjadi aspirasi Bank Rakyat,” katanya.

