AFFIN, Baiduri Bank jalin kerjasama perluas jaringan perbankan Malaysia-Brunei

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: AFFIN Group (AFFIN) memperluas jaringan perbankan rentas sempadannya menerusi kerjasama dengan Baiduri Bank bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan pembiayaan kepada pelanggan di Malaysia dan Brunei.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi kewangan berkenaan yang menggabungkan keupayaan dan rangkaian perbankan AFFIN di Malaysia dengan kedudukan kukuh Baiduri Bank dalam pasaran Brunei.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan ekonomi dan komersial yang kukuh dengan potensi besar untuk meningkatkan aliran perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua pasaran.

“Melalui AFFIN, kami menawarkan perbankan konvensional dan Islam, perbankan pelaburan, pengurusan aset serta pengurusan kekayaan di bawah satu platform.

“Digabungkan dengan kedudukan kukuh Baiduri Bank di Brunei, kerjasama ini memberi kami keupayaan lebih luas untuk memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan pengurusan kekayaan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang kolaborasi dalam perbankan komersial dan runcit, pembiayaan, pembiayaan perdagangan serta perkhidmatan perbendaharaan.

Ia turut merangkumi perkhidmatan pelaburan termasuk perbankan pelaburan, pembrokeran saham, pengurusan aset dan dana amanah, sekali gus memperluas akses pelanggan kepada pelbagai penyelesaian kewangan di kedua-dua negara.

Kerjasama berkenaan juga hadir ketika hubungan ekonomi antara Malaysia dan Brunei terus diperkukuh, dengan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM5.8 bilion pada 2025 dan RM2.4 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

Kedua-dua negara turut mengenal pasti potensi kerjasama lebih luas dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterhubungan, pertanian, pelancongan serta ekonomi halal.

Hubungan ekonomi yang lebih erat antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak turut dijangka membuka landskap komersial lebih luas, termasuk meningkatkan aliran modal dan aktiviti perdagangan di rantau Borneo.

Wan Razly berkata, MoU itu turut menyediakan platform untuk memperkukuh keterhubungan rentas sempadan dan menghubungkan pelanggan kepada peluang perniagaan baharu.

“Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Brunei, termasuk di Borneo, terus berkembang dan dengan Visit Brunei Year 2027 yang bakal berlangsung, kami melihat ruang yang luas untuk memperkukuh aktiviti komersial serta mencipta nilai mampan kepada kedua-dua institusi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Ti Eng Hui berkata, hubungan ekonomi, perniagaan dan rakyat antara Brunei dan Malaysia sudah lama terjalin.

Katanya, peluang yang semakin berkembang di Malaysia, khususnya di Borneo, meletakkan AFFIN dan Baiduri Bank pada kedudukan baik untuk memperkukuh hubungan berkenaan serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pelanggan di kedua-dua pasaran.

MoU berkenaan ditandatangani Wan Razly dan Ti serta disaksikan Ketua Perbankan Institusi Baiduri Bank, Ak Nor Muhammad Nizam Pg Haji Tengah dan Pengerusi Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hasli Hashim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top