JAKARTA – Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda perairan Pulau Nias di wilayah Sumatera Utara, Indonesia pada Selasa, menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik negara itu.
Setakat ini, tiada kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan, lapor Xinhua.
Agensi itu memaklumkan gempa berlaku pada 1.02 tengah hari waktu tempatan (0602 GMT), dengan pusat gempa terletak kira-kira 147 kilometer (km) di tenggara Kabupaten Nias Selatan pada kedalaman 29 km.
Gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, menurut agensi berkenaan. – Bernama