ARAU – Kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya menjadi sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara yang telah dirancang secara strategik.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, dakwaan bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat yang sepatutnya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan dasar sebenar pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu, sebaliknya merupakan antara Teras Strategik Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
“Perlu difahami bahawa pelajar antarabangsa tidak mengambil tempat pelajar tempatan. Kemasukan mereka diurus melalui mekanisme yang berasingan dan tertakluk kepada syarat kemasukan yang ketat.
“Setiap permohonan perlu melalui saringan akademik, imigresen dan dokumentasi yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Senat Universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Imigresen Malaysia serta Education Malaysia Global Services (EMGS),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, keutamaan kemasukan ke universiti awam kekal diberikan kepada pelajar tempatan menerusi saluran pengambilan nasional yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, secara keseluruhan, pelajar antarabangsa di universiti awam hanya merangkumi kira-kira 10 peratus atau kurang daripada jumlah keseluruhan enrolmen, sekali gus membuktikan bahawa majoriti tempat pengajian masih diperuntukkan kepada rakyat Malaysia.
“Daripada 15,796 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di UniMAP, hanya 631 orang merupakan pelajar antarabangsa iaitu sekitar empat peratus sahaja.
“Bagi peringkat prasiswazah pula, hanya 392 daripada 13,727 pelajar adalah pelajar antarabangsa, bersamaan kira-kira 2.8 peratus,” ujarnya.
Zaliman berkata, angka tersebut membuktikan bahawa mandat utama UniMAP untuk melahirkan modal insan negara dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak pernah diketepikan.
Dalam masa sama, beliau berkata, kehadiran pelajar antarabangsa memberi nilai tambah kepada ekosistem universiti melalui perkongsian budaya, pemindahan ilmu serta pembentukan jaringan global yang mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar tempatan.
Katanya, penglibatan pelajar dari luar negara juga menyumbang kepada peningkatan kualiti universiti menerusi kolaborasi akademik dan penyelidikan, penerbitan bersama serta pembangunan inovasi.
“Ia turut membantu meningkatkan reputasi institusi di peringkat antarabangsa dan menjadi antara indikator penting dalam penarafan dunia seperti Times Higher Education (THE) dan QS World University Rankings,” katanya lagi.
Selain manfaat akademik, beliau berkata, pelajar antarabangsa turut memberi impak ekonomi yang positif kepada negara apabila membayar yuran pengajian penuh mengikut kadar antarabangsa serta berbelanja untuk penginapan, pengangkutan, makanan dan keperluan harian.
Malaysia sebelum ini menetapkan sasaran untuk menarik seramai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2030 bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi yang diyakini di peringkat global.
Mengulas perkara itu, Zaliman berkata, sasaran berkenaan bukan bertujuan menggantikan pelajar tempatan, sebaliknya memperkukuhkan daya saing negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
“Pengantarabangsaan bukan bermaksud membuka ruang sehingga menafikan hak rakyat Malaysia.
“Sebaliknya, ia adalah strategi negara untuk membina universiti yang lebih berkualiti, berdaya saing di peringkat global dan mampu melahirkan graduan yang mempunyai kompetensi antarabangsa tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajar tempatan,” tambahnya.



