Pelajar asnaf, B40 dapat bantuan sambung pengajian tinggi

Pelajar asnaf, B40 dapat bantuan sambung pengajian tinggi

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran telah memberikan bantuan awal pendidikan kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Bantuan itu adalah berbentuk kewangan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.

Ia melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan asnaf dan keluarga B40.

Melihat kepada situasi ini, YBR prihatin menyalurkan bantuan kepada 60 pelajar dikalangan B40 yang telah dikenalpasti di dalam satu majlis penyerahan, di Tuaran, Sabah baru-baru ini.

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran (Pejabat Kiulu).

Majlis turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Wilfred berkata, beliau amat berterima kasih kepada YBR di atas bantuan yang diberikan dalam membantu golongan yang memerlukan di Tuaran untuk mendapatkan pendidikan yang lebih dan telah membantu kawasan ini dua tahun berturut-turut.

“Saya amat berharap usaha ini dapat dikekalkan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dalam pendidikan serta secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga di kawasan luar bandar,” katanya.

Di dalam majlis yang sama Philip berkata, bantuan tunai yang diberikan inisiatif bagi mengurangi bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat daripada kemelesetan ekonomi terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan pelajar-pelajar dan golongan muda akses yang pendidikan berkualiti, inisiatif ini diharapkan dapat membantu lebih ramai lagi pelajar-pelajar di luar sana untuk meneruskan pengajian ke peringkat pengajian
tertinggi serta dapat meniup semangat baru kepada para penerima untuk mencapai kejayaan dengan lebih cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, Tuaran tergolong antara sembilan daerah termiskin di Malaysia dan diharapkan dengan bantuan itu dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa atau individu untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran anak-anak sebagai persediaan di IPT.

Untuk makluman bagi tahun 2023, seramai 3,580 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara. – MalaysiaGazette