Pelajar cedera teruk disondol babi hutan

Pelajar cedera teruk disondol babi hutan

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Hasrat seorang pelajar universiti untuk pulang ke tempat pengajian tidak kesampaian apabila dia cedera disondol babi hutan ketika menunggang motosikal di Padang Keladi, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh itu mengalami kecederaan serius di bahagian mulut, termasuk beberapa batang gigi patah serta gusi koyak.

Abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahra Abba berkata, kejadian berlaku ketika adik iparnya dalam perjalanan dari rumah keluarga mereka di Kampung Pulau, Durian Tunggal menuju ke kampus bagi mengikuti pengajian dalam bidang mutawif.

“Adik ipar saya disondol babi hutan malam tadi di hadapan kawasan Go Kart Padang Keladi.

“Difahamkan kawasan itu memang sudah beberapa kali berlaku kemalangan kerana gelap dan tidak mempunyai lampu jalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut disertakan gambar kejadian.

Menurutnya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka dan masih trauma akibat kejadian itu.

Beliau turut berharap pihak berwajib mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang atau mengorbankan nyawa orang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top