Pelajar maut dilanggar di sekolah, KPM laksana siasatan dalaman

Pelajar maut dilanggar di sekolah, KPM laksana siasatan dalaman

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan, susulan kemalangan maut membabitkan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini, hari ini.

KPM menerusi kenyataan media turut memaklumkan akan memastikan bantuan terbaik disalur kepada keluarga pelajar berusia 13 tahun itu, Allahyarham Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin.

Jelasnya, semua institusi pendidikan di bawah kelolaan KPM diingatkan untuk memastikan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi sentiasa terpelihara.

“KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa dan semoga keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini.

“KPM sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa. Aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi perhatian.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM juga sudah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap SOP yang berkaitan,” menurut kenyataan.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar tingkatan satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dilanggar kenderaan dipandu wanita di hadapan surau sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada 1.50 tengahari dengan siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak hingga terbabas melanggar mangsa dan tiang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top