am@hmetro.com.my
Sepang: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan melangkau pihak polis dalam menjalankan siasatan membabitkan satu kejadian seorang pelajar tingkatan dua mengugut dan menumbuk gurunya di sebuah sekolah menengah, di Kajang, kelmarin.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, biarpun KPM sendiri mempunyai peraturan dalam menangani insiden yang berlaku di sekolah, namun jika ada pihak berkuasa seperti polis sudah mengambil alih siasatan, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Jadi tanggungjawab kita apabila peraturan kita itu kita laksanakan dan kemudian ada satu lagi pihak khususnya pihak polis (menyiasat) kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian ketika menunggu ketibaan Orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, tengah malam tadi.
Fadhlina mengulas insiden seorang guru ditumbuk pelajar yang berang selepas ditegur guru terbabit kerana ponteng kelas pendidikan jasmani petang kelmarin.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM akan beri tumpuan khususnya memberikan sesi kaunseling untuk guru terbabit.
“Saya fikir sokongan kepada guru kita juga penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya.
Media semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof sebagai berkata, guru lelaki berusia 29 tahun berkenaan membuat laporan berhubung kejadian pada 7.15 malam hari kejadian.
Kejadian yang disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain, turut tular di media sosial.
Naazron, juga dilaporkan berkata, pelajar berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin di sekitar Kajang dan direman dua hari, selain kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya mendapat arahan untuk pertuduhan di Mahkamah Kajang, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd