am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.21 malam.
Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15 bersama tiga rakannya melakukan aktiviti memancing sebelum mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan teknik pencarian di permukaan sungai di sekitar lokasi kejadian malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR bersambung hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




