Pelajar undang-undang UKM buktikan mampu takluk Kejohanan Dunia IRONMAN

Pelajar undang-undang UKM buktikan mampu takluk Kejohanan Dunia IRONMAN

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Bukan hanya cemerlang dalam akademik malah Ahmad Dani Amir Fariz juga aktif bersukan hingga dapat mewakili negara dalam Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 2026 di Nice, Perancis pada 13 September lalu.

Lebih membanggakan, Ahmad Dani, 20, menjadi peserta termuda negara dan penuntut universiti awam pertama yang layak bersaing dalam kejohanan berkenaan.

Perlumbaan itu menyaksikan Ahmad Dani dan peserta lain daripada seluruh dunia menyempurnakan cabaran iaitu berenang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal 90 km dan berlari 21 km.

Penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menamatkan perlumbaan di salah sebuah litar perlumbaan paling mencabar di dunia dengan catatan masa 6 jam 44 minit 32 saat.

Berkongsi pengalamannya, Ahmad Dani yang juga penerima Anugerah Dekan berkata, sejak awal lagi, dia sudah gembira selepas tahu yang dirinya terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3.

Lebih menggembirakannya apabila UKM memberi sokongan dengan menaja aspek fasiliti dan latihan serta pertandingan triathlon seperti Port Dickson Triathlon juga IRONMAN 70.3 Desaru.

Bagi Ahmad Dani, kemenangan itu satu bonus dan berpuas hati dengan pencapaiannya yang bersaing dalam kategori peserta berusia 18 hingga 24 tahun.

“Saya sudah berikan segalanya dan jujurnya, latihan dijalankan sebelum ini amat membantu serta memberi impak terhadap prestasi saya sewaktu perlumbaan.

“Tak mudah kerana cabaran terbesar yang saya hadapi sewaktu kejohanan adalah segmen berbasikal kerana laluannya sangat berbukit hingga perlu menggunakan hampir semua tenaga ketika perlumbaan.

“Tapi saya dapat mengharungi cabaran itu dan sebak selepas melepasi garisan penamat kerana terharu dengan ibu bapa yang menyokong saya daripada segala aspek.

“Keluarga saya juga turut berbangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian saya. Ibu dan ayah beritahu kejohanan itu bukan perlumbaan terakhir namun hanya permulaan kepada pencapaian yang lebih besar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Dani, bukan mudah untuk sampai ke tahap itu kerana dia perlu melakukan persediaan rapi terutama daripada aspek latihan.

Katanya, latihan itu dijalankan sejak Februari lalu pada setiap minggu dengan meluangkan masa antara 10 hingga 12 jam untuk berlatih berenang, berbasikal dan berlari.

“Saya ingin berterima kasih kepada Pusat Sukan UKM kerana menaja saya dari aspek latihan dan fasiliti selain menyediakan jurulatih terbaik iaitu Coach Affan Danish untuk memberi bimbingan juga tunjuk ajar.

“Di samping itu, saya buat persediaan dengan mengambil kira soal nutrisi selain peralatan sukan misalnya dengan menghantar basikal saya ke kedai basikal untuk dibaiki selama dua minggu sebelum terbang ke Perancis.

“Persiapan lain adalah dengan menyertai beberapa siri pertandingan triathlon di dalam negara untuk menilai tahap kecergasan saya dalam menghadapi pertandingan kejohanan dunia Ironman.

“Antara pencapaian saya dalam kejohanan itu adalah meraih tempat kedua bagi kategori umur 18 hingga 29 di Perak Multisport Festival di Lumut serta tempat ke-10 bagi kategori umur 18-24 di IRONMAN 70.3 Desaru Coast,” katanya yang menetap di Bandar Seri Putra, di sini.

Menceritakan perihal minatnya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia mendapat pendedahan dan minat dalam mengikuti perkembangan kejohanan IRONMAN sejak berusia 16 tahun.

Ketika itu, bapanya turut serta dalam IRONMAN Langkawi kategori jarak penuh dan melihat komuniti itu sangat menarik serta mengalukan penyertaan peserta lain.

“Jadi bertitik tolak daripada situ, saya mula ada keinginan nak jadi macam ayah, tambahan pula sebab saya memang sudah ada latar belakang berlari dan berbasikal sejak umur 15 tahun.

“November tahun lalu, saya berpeluang menyertai kejohanan IRONMAN 70.3 Langkawi dengan catatan masa enam jam 30 saat,” katanya.

Menurut rekod, Kejohanan IRONMAN 70.3 di Perancis adalah yang ketiga disertainya.

Tahun lalu, Ahmad Dani berada dalam kedudukan 10 teratas untuk kategori 18 hingga 24 tahun ketika di Ironman 70.3 Langkawi 2025 yang melayakkannya ke kejohanan dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top