Bukan 3 tahun! Loke jelaskan tunggakan RM314 juta MyEG hanya berlaku sejak Mei lalu

Bukan 3 tahun! Loke jelaskan tunggakan RM314 juta MyEG hanya berlaku sejak Mei lalu

Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan tunggakan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta membabitkan MY EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah kumpulan MyEG, hanya berlaku sejak Mei hingga September 2026 dan bukannya selama tiga tahun seperti dilaporkan sebelum ini.

Tuntutan babit kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan

Menerusi laporan daripada Harian Metro, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan  jumlah tuntutan itu membabitkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Penerimaan Utama Pejabat Perakaunan kementerian bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu.

“Ini yang saya nak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa sudah tiga tahun mengapa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan MOT (Kementerian Pengangkutan) tak mengambil tindakan.
“Tak betul. Tiga tahun itu tidak tepat. Tunggakan ini bermula sejak bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media.

JPJ sudah ambil beberapa langkah sejak Mei

Menurut Loke, MOT dan JPJ telah mengambil beberapa langkah sejak Mei lalu termasuk mengadakan empat sesi libat urus serta mengeluarkan 35 notis peringatan bagi mendapatkan semula kutipan berkenaan.

“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan ketika itu.
“Bagaimanapun, apabila cek berkenaan dikreditkan pada 30 September lalu, pihak bank tidak memprosesnya atas arahan syarikat terbabit,” katanya.

Susulan itu, perkhidmatan pembayaran menggunakan saluran MyEG dan Zetrix AI digantung bermula hari ini, manakala MOT dan JPJ akan mengambil tindakan perundangan bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan.

Pada masa sama, Loke menegaskan penggantungan itu tidak menjejaskan perkhidmatan JPJ kerana urusan berkaitan masih boleh dilakukan menerusi aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ serta saluran alternatif lain.

Sumber: Harian Metro (Zanariah Abd Mutalib)

Scroll to Top