Pelakon dan penyanyi terkenal tiba di mahkamah Putrajaya

Pelakon dan penyanyi terkenal tiba di mahkamah Putrajaya

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon dan penyanyi terkenal tiba di Mahkamah Sesyen, di sini, dipercayai bagi menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Artis berusia 28 tahun itu tiba dengan menaiki kereta Mercedes berwarna hitam bersama ibunya serta peguam, jam 8.34 pagi tadi.

Dia yang memakai kot berwarna hitam sempat menyapa dan memberi salam kepada pengamal media yang menanti di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan dijalankan jam 9 pagi di hadapan Hakim Datin M Kunasundary dalam prosiding secara tertutup.

Minggu lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan memaklumkan arahan untuk menutup ke atas seorang selebriti sudah diperoleh daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor.

Menurutnya, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat terbabit diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas selebriti berkenaan.

Suspek dan mangsa yang juga pelajar dikatakan berkenalan kira-kira dua bulan lalu.

Selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top