Pelaku rasuah tempatnya dalam penjara! PM Anwar takkan kompromi selagi pikul amanah

Pelaku rasuah tempatnya dalam penjara! PM Anwar takkan kompromi selagi pikul amanah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap pembangkang yang didakwanya lebih lantang memainkan sentimen perkauman dan agama, namun memilih untuk berdiam diri apabila isu rasuah serta penyelewengan melibatkan kepentingan rakyat dibangkitkan.

Menurut Anwar, tindakan sedemikian memperlihatkan percanggahan dalam pendirian pembangkang, khususnya apabila melibatkan isu integriti dan salah guna kuasa yang memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat.

“Apabila rasuah dan penyelewengan yang menjejaskan hidup rakyat dibangkitkan, pembangkang memilih untuk membisu.
“Namun dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dan menunggang agama, merekalah yang paling ke hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas kembali perkara yang dibangkitkan dalam Forum Ilmuwan Madani baru-baru ini, Anwar turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap masyarakat yang semakin terbiasa menerima penyelewengan sekiranya kesalahan melibatkan jumlah berbilion ringgit terus dipandang ringan.

Image

Beliau berpandangan, budaya berdiam diri terhadap salah laku berkenaan boleh menyebabkan masyarakat akhirnya bertolak ansur dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan pendiriannya untuk meneruskan usaha membanteras rasuah sepanjang memegang amanah sebagai Perdana Menteri.

“Selagi saya memikul amanah ini, saya tidak akan berkompromi dengan rasuah, kerana pelaku rasuah tempatnya dalam penjara,” katanya.

Image

Terdahulu, Anwar turut menyatakan ketidaksetujuannya secara peribadi terhadap tindakan UMNO melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut beliau, meskipun tindakan itu mungkin didorong semangat persahabatan dalam parti, ia berisiko memberikan gambaran yang tidak tepat kepada masyarakat mengenai pendirian dalam usaha memerangi rasuah.

Sumber: FB Anwar Ibrahim

Scroll to Top