Pelanggan, pemilik pusat hiburan dikompaun RM155,000

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 154 pelanggan pusat hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru dan pemilik premis dikompaun dengan nilai keseluruhan RM155,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu pusat hiburan itu pada jam 10.52 malam semalam selepas menerima maklumat berhubung kegiatan premis terbabit.

Semasa serbuan dibuat, beliau berkata, terdapat persembahan live band di atas pentas dan beberapa pelanggan premis dilihat sedang berhibur sambil minum minuman keras.

“Pihak polis kemudian menahan pengurus premis iaitu lelaki berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Secara keseluruhannya, seramai 154 warga tempatan termasuk pemilik premis dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, polis turut merampas barang kes antaranya resit perniagaan, minuman keras, mikrofon, dan pelbagai aksesori/peralatan

muzik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pusat hiburan yang melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd