Pelantikan menteri hak PM, tapi kalau orang tak suka buat apa tunggu – Khaled Nordin

Pelantikan menteri hak PM, tapi kalau orang tak suka buat apa tunggu – Khaled Nordin

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat sependapat dengan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung isu peletakan jawatan dalam Kabinet sekiranya mendapat arahan daripada Perdana Menteri.

Pelantikan atas budi bicara PM

Memetik laporan Kosmo, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, kuasa melantik atau menamatkan perkhidmatan seseorang menteri adalah di bawah budi bicara Perdana Menteri.

“Seperti saya kata, soal pelantikan menteri semua adalah budi bicara Perdana Menteri, (tapi) kalau orang dah tak suka, buat apa nak tunggu,” katanya pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) N19 Johol di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Mawang, malam tadi.

Sebelum itu, Mohamed Khaled diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ipoh hari ini yang memberi peringatan kepada mana-mana menteri dan timbalan menteri supaya tidak menyalahgunakan kedudukan untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Mengulas perkara itu, Khaled menegaskan kempen BN perlu dilakukan secara berhemah dengan memberi ruang kepada rakyat membuat pertimbangan sewajarnya.

“Kempen BN perlu secara berhemah. Rakyat perlu beri pertimbangan betul, baik dan tepat kerana ia merupakan pendirian serta keputusan rakyat yang akan mempengaruhi masa hadapan kehidupan mereka.
“Jadi, tak perlu nak menggunakan pendekatan-pendekatan yang boleh menyakitkan hati ataupun memburuk-burukkan antara satu dengan lain,” tambahnya lagi.

Artikel lain: PRN Johor tak jejaskan Kerajaan Perpaduan! Diadakan tepat pada waktu- Khaled Nordin

Dalam perkembangan sama, ketika mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya Mohamad meletakkan jawatan, Mohamed Khaled berkata pihak terbabit tidak seharusnya mencampuri perkara berkenaan kerana keputusan itu berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Sumber: Kosmo (Nor Ainna Hamzah)

Scroll to Top