kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Sistem Kawalan Subsidi Komoditi Elektronik (eCOSS) bagi penyaluran subsidi minyak masak bersasar berpotensi menjimatkan perbelanjaan kerajaan antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion setahun, di samping mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan bekalan bersubsidi, kata Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.
Beliau berkata, eCOSS mengubah pendekatan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar dengan harga minyak masak dijual pada harga pasaran antara kira-kira RM6 hingga RM7 sekilogram, manakala subsidi sekitar RM3 hingga RM4 disalurkan terus kepada penerima layak menerusi e-dompet atau kad pengenalan.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membanteras aktiviti penyeludupan kerana harga menjadi seragam, malah memastikan sektor industri membayar harga penuh, dan hanya penerima yang layak berdasarkan pangkalan data Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerima bantuan.
“Jika kadar ketirisan sistem sedia ada dianggarkan kira-kira 30 peratus, eCOSS berpotensi mengurangkannya kepada bawah lima hingga 10 peratus, yang lebih tertumpu kepada risiko penipuan digital berbanding ketirisan fizikal,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme subsidi sedia ada yang menyalurkan bantuan kepada pengeluar dan pemborong menyebabkan kerajaan sukar mengawal ke mana bekalan minyak masak bersubsidi disalurkan.
Menurutnya, sistem itu membuka ruang kepada tiga bentuk ketirisan utama iaitu penyeludupan ke negara jiran, penggunaan minyak masak bersubsidi oleh sektor komersial seperti kilang, restoran dan hotel, selain golongan berpendapatan tinggi (T20) turut menikmati subsidi yang sepatutnya disasarkan kepada kumpulan memerlukan.
“Melalui sistem sekarang, kerajaan mengekalkan harga minyak masak paket satu kilogram pada RM2.50 di pasaran, namun tidak dapat mengawal destinasi penggunaannya.
“Akibatnya berlaku penyeludupan kerana minyak bersubsidi boleh dijual semula di negara jiran pada harga RM7 hingga RM8 sekilogram, sekali gus menyebabkan kerugian dianggarkan antara RM800 juta hingga RM1.2 bilion setahun,” katanya kepada Bisnes Metro.
Mengulas cabaran pelaksanaan sistem itu pula, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada aspek akses digital, khususnya bagi penerima di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai telefon pintar atau e-dompet.
Beliau berkata, kerajaan boleh memanfaatkan pangkalan data STR dan SARA serta menyediakan beberapa kaedah penyaluran subsidi seperti kredit ke MyKad, e-dompet atau baucar fizikal bagi tempoh peralihan.
Selain itu katanya, kebimbangan peniaga kecil terhadap proses tuntutan subsidi juga perlu ditangani dengan memastikan subsidi disalurkan terus kepada pengguna, manakala peniaga hanya menerima bayaran penuh selepas membuat imbasan transaksi.
“Kerajaan juga boleh menawarkan insentif kepada kedai runcit yang mendaftar awal dan menyediakan latihan sebelum sistem dilaksanakan bagi memastikan proses berjalan lancar,” katanya.
Mengenai impak ekonomi, beliau berkata, pelaksanaan eCOSS dijangka mengurangkan bil subsidi minyak masak daripada sekitar RM4.5 bilion kepada kira-kira RM2.8 bilion hingga RM3 bilion setahun.
Menurutnya, penjimatan itu boleh disalurkan kepada sektor lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan atau memperkukuh bantuan SARA, selain membantu mengurangkan defisit fiskal negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




