PRN N9 : Undi masyarakat India penentu di DUN Seremban Jaya

PRN N9 : Undi masyarakat India penentu di DUN Seremban Jaya

am@hmetro.com.my

Seremban: Undi kaum India menjadi ‘playmaker’ atau penentu kritikal bagi kemenangan calon MIC mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Seremban Jaya yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) sejak hampir dua dekad lalu.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, sokongan kaum India terhadap BN di Seremban Jaya sangat menggalakkan.

“Saya lihat masyarakat India menyokong penuh calon MIC di bawah tiket BN. Saya lihat sambutan yang cukup luar biasa kali ini terutama daripada golongan belia.

“Dewan Undangan Negeri ini diterajui wakil rakyat daripada DAP, tetapi hari ini ramai di dalam bilik gerakan pun, sebahagian besar adalah bukan ahli MIC.

“Mereka adalah orang biasa yang turun untuk bantu MIC,” katanya ketika ditemui ketika melawat Bilik Gerakan BN di Seremban Jaya, malam tadi.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN mempertaruhkan Thinalan T Rajagopalu atau lebih dikenali sebagai Cikgu Thina yang bakal bersaing dengan Mahendran Ramasamy (BERSATU) dan calon muka baharu PH daripada DAP.

Seremban Jaya sebelum ini dikenali sebagai DUN Senawang sebelum persempadanan semula pada 2018 dikuasai PH- DAP selama empat penggal berturut-turut sejak pilihan raya umum 2008.

Ditanya sama ada MIC akan mengulangi pencapaian cemerlang menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi di PRN Johor, Saravanan berkata, landskap politik dan keperluan rakyat di Johor dan Negeri Sembilan adalah berbeza.

“Negeri ini landskap politik berbeza daripada Johor. Negeri ini keperluan semasa adalah jauh berbeza, maka, kita tidak boleh samakan dengan dengan Johor.

“Tetapi saya boleh nampak apa yang berlaku di Johor memberi kesan kepada Negeri Sembilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top