Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia menghantar pulang pelarian Myanmar, selain memberi amaran keadaan di negara berkenaan masih belum selamat untuk kepulangan mereka.
Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memaklumkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela telah dimuktamadkan, membabitkan 1,476 pelarian yang dijadual dihantar ke Myanmar pada 29 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memaklumkan Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian Rohingya, ketika isu kehadiran pelarian berkenaan mencetuskan ketegangan dalam sesetengah komuniti tempatan.
Sifatkan kepulangan pelarian perlu secara sukarela
Memetik laporan daripada Reuter, UNHCR menyatakan konflik bersenjata dan keganasan berterusan di Myanmar menyebabkan kepulangan secara sukarela yang selamat, bermaruah dan mampan belum dapat dilaksanakan.
“Menurut undang-undang antarabangsa, tiada sesiapa boleh dihantar ke negara yang menyebabkan hak atau kebebasan mereka berisiko.
“Sebarang kepulangan pelarian mestilah secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dimaklumkan serta dilaksanakan dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan melalui e-mel kepada Reuters.
Foto: Reuters
Keperluan perlindungan semua pihak perlu dinilai
UNHCR turut menggesa keperluan perlindungan semua pihak yang terlibat dinilai dengan teliti sebelum sebarang penghantaran pulang dilakukan.
Agensi itu pada masa sama berkata pihaknya bersedia berunding dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan langkah perlindungan sewajarnya disediakan.
Foto: AFP
Kementerian Dalam Negeri enggan mengulas kenyataan UNHCR dan merujuk kepada pendirian sebelum ini bahawa proses penghantaran pulang tersebut adalah secara sukarela.
Ribuan pelarian melarikan diri dari Myanmar selepas rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara di seluruh negara.
Menurut data UNHCR, Malaysia menempatkan kira-kira 193,800 pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik, termasuk Rohingya dan Chin, setakat Februari lalu.
Namun begitu, kumpulan aktivis mendakwa jumlah sebenar pelarian yang berada di negara ini jauh lebih tinggi kerana sebahagian daripada mereka masih belum mendaftar.
Sumber: Reuters

