kartika@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: AEON, menjadi peruncit pertama di Malaysia yang memperkenalkan program pembekal memfokus Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan kerjasama Bursa Malaysia dan CIMB.
Program Pembekal #AEONResponsible itu menyediakan pembekal sokongan penting, termasuk akses kepada sumber khusus, peluang membina kapasiti dan insentif kewangan.
Pengarah Urusan AEON Co (M) Bhd, Naoya Okada berkata, pihaknya memberi komitmen kepada pelanggan melangkaui produk dalam mendapatkan sumber secara bertanggungjawab dan beretika.
Katanya, program ini mempelawa pembekal AEON meningkatkan standard ESG, memupuk komitmen kolektif ke arah masa depan yang mampan.
“Ia mengukuhkan kepercayaan dan ketelusan yang kami kongsi dengan pelanggan dalam memberi jaminan kepada mereka bahawa kami menyokong rantaian bekalan yang berasaskan amalan bertanggungjawab dan mementingkan alam sekitar.
“Program ini merangkumi komitmen AEON untuk memacu perubahan bermakna sempena ulang tahun ke-40 kami di Malaysia dan sejajar dengan matlamat tinggi kami untuk mencapai neutral karbon menjelang 2040,” katanya di majlis pelancaran Program Pembekal #AEONResponsible di sini, kelmarin.
Menurutnya, kerjasama dengan pembekal menjadikan AEON berusaha untuk memacu ekonomi rendah karbon yang mencipta nilai berkekalan untuk semua pihak berkepentingan.
Program itu memanfaatkan platform Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI), yang dibangunkan Bursa Malaysia dengan kerjasama London Stock Exchange Group yang berfungsi sebagai penyelesaian komprehensif untuk menyokong syarikat Malaysia dalam memudahkan pendedahan ESG menerusi alat menilai pelepasan karbon syarikat.
Program ini menekankan peluang membina kapasiti, melengkapkan pembekal dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan untuk meningkatkan amalan ESG mereka.
Dengan kerjasama CIMB (secara kolektif diwakili CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad), pembekal AEON akan mempunyai akses rangkaian tawaran kewangan mampan CIMB untuk menyokong penggunaan teknologi hijau, penggunaan amalan perniagaan mampan dan peralihan kepada operasi rendah karbon.
Ini termasuk Pembiayaan Berkaitan Kemampanan (SLF) CIMB untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan peruntukan RM3 bilion sehingga 2030, di mana pembekal AEON akan mendapat manfaat daripada rebat pembiayaan sehingga 0.50 peratus setahun apabila mereka mencapai sasaran prestasi kemampanan yang dipersetujui sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




