Pelbagai inisiatif dilaksana pulih ekonomi negara – PM

Pelbagai inisiatif dilaksana pulih ekonomi negara – PM

mdroji@bh.com.my

KUCHING: Kerajaan giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan yang sebelum ini terjejas dengan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara usaha termasuk membenarkan pergerakan rentas sempadan melalui skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut.

Beliau berkata, selain Singapura dan Indonesia, Brunei juga secara dasar bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL yang bukan hanya mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak, tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang bersempadan dengan Brunei.

“Ini hasil perbincangan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ketika kunjungan saya ke Brunei baru-baru ini,” katanya dalam ucapan pelancaran Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching, di sini, malam ini.

Yang turut hadir memeriahkan majlis penuh warna warni itu Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Ismail Sabri berkata, susulan persetujuan Singapura, Indonesia dan Brunei untuk melaksanakan skim VTL, langkah sama juga akan dilaksanakan dengan Thailand, yang mana beliau baru sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke negara itu.

Dalam usaha menggalakkan pelancong asing datang ke negara ini, Perdana Menteri berkata kerajaan melaksanakan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) pada November tahun lalu yang membenarkan pelancong asing datang ke Malaysia melalui Pulau Langkawi.

“Ia ujian rintis terhadap kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terhadap norma baharu.

“Walaupun baharu tiga bulan dilaksanakan, seramai 5,686 pelancong asing memanfaatkan LITB dan projek ini menjana pendapatan lebih RM28 juta kepada ekonomi Pulau Langkawi,” katanya.

Beliau berkata, sejak LITB diperkenalkan, tiada sebarang kluster jangkitan berpunca daripada pelancong dikesan, malah hanya satu peratus sahaja kes positif COVID-19 dalam Kategori 1 dan 2 dikesan ketika saringan dibuat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Langkawi.

“Maklum balas baik diterima daripada pihak yang terbabit dalam pelaksanaan LITB, memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif LITB sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak,” katanya.

Mengenai Citrawarna Keluarga Malaysia 2022, Perdana Menteri berkata penganjuran festival mega itu di Sarawak menepati tema sambutan iaitu, ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’.

“Festival ini sekali lagi menampilkan kehebatan dan keunikan seni, budaya dan warisan rakyat Malaysia. Di Sarawak sahaja contohnya terdapat 28 etnik yang mencorak keunikan budaya yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat di Bumi Kenyalang, tetapi seluruh Keluarga Malaysia amnya.

“Pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna juga amat bersesuaian memandangkan bandar raya Kuching mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.

“Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia (World Craft City) oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy membantu Kuching merancakkan ekonomi dan industri pelancongan serta kebudayaan khususnya di Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd