GEORGE TOWN : Seni kaligrafi perlu terus dipelihara dan dimartabatkan menerusi penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), platform digital serta media kreatif agar warisan budaya itu kekal relevan kepada generasi muda.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dalam hal ini, keindahan seni tulisan pelbagai budaya yang merangkumi seni khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil serta tulisan tradisional lain itu turut dianggap sebagai lambang identiti serta warisan negara.
Justeru, beliau berkata, sebarang usaha yang diwujudkan untuk mengangkat seni kaligrafi itu sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat untuk lebih mengenali serta menghayati keindahan seni tulisan berkenaan.
“Seni kaligrafi ketika ini juga dianggap penting kerana ia sebenarnya boleh menjadi wahana yang menyemarakkan persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati antara masyarakat berbilang bangsa, bahasa dan agama, sekali gus memperkukuh asas perpaduan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, malam ini.
Sementara itu, Aaron turut memuji budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila purata jumlah buku yang dibaca meningkat kepada 24 buah setahun pada 2023 berbanding hanya dua buah buku setahun pada 2005.
Beliau berkata, pencapaian tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa pelbagai inisiatif kerajaan dalam menggalakkan amalan membaca berjaya memberi impak positif kepada masyarakat.
“Walaupun pembacaan digital kini semakin berkembang, namun, ia tidak bermakna bahawa kepentingan buku fizikal itu semakin terpinggir kerana pesta buku masih terus menjadi platform penting untuk mempertemukan penulis, penerbit serta pembaca selain merancakkan industri perbukuan negara.
“Buktinya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang lalu telah mencipta rekod baharu dengan kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung, sekali gus membuktikan minat rakyat terhadap buku fizikal masih sangat kukuh,” kata beliau.-UTUSAN




