khairil.ashraf@hmetro.com.my
BERTITIK tolak dari menonton filem Holes yang diarahkan Andrew Davis pada tahun 2003, minat Shazwan Khairuddin, 36, untuk memiliki haiwan reptilia berasal dari kawasan gurun dan kering, Bearded dragon atau naga berjanggut mula tercetus.
Mengimbau kenangan itu, Shazwan yang bekerja sebagai ‘freelance’ atau pekerja bebas berkata, menerusi filem berkenaan, terdapat satu babak menunjukkan watak utama berada di dalam sebuah lubang bersama biawak berbintik yang rupa fizikalnya menyerupai Bearded dragon.
“Sejak itulah, saya mula tertarik dengan haiwan jenis reptilia. Pada waktu itu, saya belum tahu banyak tentang Bearded dragon, tetapi rupa dan keunikan haiwan ini memang menarik perhatian saya.
“Minat itu berterusan sehinggalah saya berpeluang untuk membelanya sendiri,” katanya yang tinggal di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
Shazwan yang menamakan Bearded dragonnya sebagai Jellybean berkata, dia mendapatkan haiwan berasal dari Australia itu ketika mengunjungi ekspo haiwan eksotik di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tahun lalu.
Dari segi perwatakan, Jellybeannya yang bakal genap usia dua tahun Disember ini disifatkan amat manja, kuat merajuk dan sering memilih makanan.
“Ada hari dia tak mahu makan sayur tertentu hanya kerana warna atau bentuknya tak menepati seleranya. Kalau serangga pula, kadang-kadang dia mahukan cengkerik, kadang-kadang lipas Dubia. Memang kena pandai memahami selera dan perangainya.
“Kami sekeluarga juga perasan yang perangai Jellybean boleh berubah apabila kami tiada di rumah selama beberapa hari,” katanya yang menempatkan haiwan itu di sebuah kandang atau enclosure.
Katanya, antara sebab dia tertarik untuk memelihara Bearded dragon ialah disebabkan cara penjagaannya yang sesuai dengan gaya hidupnya.
“Saya bekerja secara freelance, jadi jadual kerja saya kadang-kadang tidak menentu. Orang rumah saya juga bekerja pada waktu siang, jadi kami perlukan haiwan peliharaan yang sesuai dengan rutin harian keluarga kami.
“Bearded dragon tidak memerlukan perhatian sepanjang masa seperti sesetengah haiwan peliharaan lain, tetapi itu bukan bermaksud kita boleh mengabaikan keperluan mereka. Kita tetap perlu memastikan pemakanan, suhu, pencahayaan dan tempat tinggal mereka sentiasa sesuai,” katanya.
Katanya, sebab lain dia memelihara Bearded dragon ialah kerana minatnya mereka bentuk dan membina kandang untuk haiwannya itu mengikut kreativitinya sendiri.
“Kita boleh susun ruang itu supaya menarik, tetapi pada masa yang sama selesa dan sesuai dengan keperluan haiwan itu.
“Dari segi pemakanan pula, Bearded dragon yang sudah dewasa seperti Jellybean memerlukan sayur-sayuran tertentu, contohnya pak choy, selain sumber protein seperti lipas Dubia yang saya berikan kira-kira dua kali seminggu.
“Jadi, lebih mudah untuk saya merancang pembelian makanan kerana sebahagian sayur-sayuran itu juga biasa kami makan di rumah. Cuma, kita tetap perlu pastikan makanan yang diberikan sesuai dan diet seimbang,” katanya.
Dari segi kos, dia hanya mengeluarkan belanja kira-kira RM20 hingga RM50 sebulan untuk makanan dan bahan alas untuk tempat tinggal Jellybean.
Shazwan berkata, dia juga akan menyediakan bajet tambahan untuk haiwan kesayangannya itu bagi keperluan veterinar.
“Saya biasanya memperuntukkan sekitar RM100 hingga RM200 sebagai persediaan sekiranya berlaku masalah kesihatan atau Jellybean memerlukan pemeriksaan doktor veterinar.
“Bagi saya, apabila kita membuat keputusan untuk membela haiwan, kita kena bersedia bukan sahaja dari segi masa dan perhatian, tetapi juga kewangan.
“Kos penjagaan bulanan mungkin nampak rendah, tetapi kita tetap perlu ada simpanan untuk perkara luar jangka, lebih-lebih lagi apabila haiwan eksotik memerlukan rawatan daripada doktor veterinar yang berpengalaman mengendalikan reptilia,” katanya.
Katanya, dari segi rutin penjagaan harian, dia akan memeriksa keadaan haiwannya itu setiap pagi.
“Saya tengok sama ada dia masih tidur atau sudah mula basking iaitu berjemur di bawah sumber haba untuk membantu mengawal suhu badannya. Selepas itu, saya pastikan tempat tinggalnya bersih, bekalan air mencukupi dan makanan disediakan mengikut keperluannya.
“Saya juga perlu memastikan lampu UVB dan sumber haba berfungsi dengan baik serta suhu dalam enclosure berada pada tahap yang sesuai.
“Bagi saya, penjagaan Bearded dragon bukan sekadar beri makan dan bersihkan tempat tinggal. Kita kena peka terhadap perubahan tingkah laku, selera makan dan keadaan fizikalnya. Kalau ada perubahan yang luar biasa, kita perlu ambil perhatian dan dapatkan nasihat doktor veterinar jika perlu,” katanya.
Menyentuh berkenaan tingkah laku, pelbagai ragam dan telatah Jellybean juga mencuit hatinya seisi keluarga.
“Perangai dia yang paling kelakar ialah apabila dia berjalan ke sana sini macam bos besar rumah. Kadang-kadang, dia boleh berjalan terus sampai terlanggar dinding, sedangkan laluan lain masih ada.
“Dia juga ada satu tabiat yang mencuit hati. Apabila dia tak suka atau tak mahu makan sesuatu, dia akan menggelengkan kepala,” katanya.
Katanya, personaliti haiwan yang dipelihara olehnya itu amat terserlah, malah doktor veterinar yang pernah dikunjunginya menggambarkan Jellybean sebagai seekor Bearded dragon yang ‘extrovert.’
“Saya rasa memang kena dengan perangai dia yang suka menunjukkan reaksi dan seolah-olah mahu turut serta dalam aktiviti kami di rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




