Peluang terbaik cipta sejarah di Piala Sudirman

Peluang terbaik cipta sejarah di Piala Sudirman

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala Sudirman 2025 selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Australia dan Perancis.

Undian itu dianggap seimbang buat skuad negara yang pastinya mahu melakar sejarah dalam kejohanan berpasukan campuran yang bakal berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bagaimanapun enggan terlalu memikirkan mengenai cabaran lawan, sebaliknya mahu fokus kepada persiapan pasukan.

“Saya tak mahu komen panjang mengenai undian, yang penting kita buat persiapan rapi dan bersedia hadapi kejohanan itu.

“Senarai pemain akan dibincangkan bersama barisan kejurulatihan sebaik tamat saingan Seluruh England,” katanya.

Malaysia masih memburu kejuaraan sulung Piala Sudirman sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik mara ke separuh akhir edisi 2009, 2021 dan 2023.

Sementara itu, tuan rumah China yang juga juara bertahan diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Hong Kong dan Algeria, manakala Kumpulan D dianggap ‘kumpulan maut’ dengan Indonesia, Denmark, India dan England bakal berentap merebut tempat ke suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top