Dua pelajar MRSM hilang ditemui di Central Market – Asyraf Wajdi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang baru-baru ini ditemui di sekitar Central Market, di sini, malam tadi.

Perkara itu disahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki awal pagi hari ini.

“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi (semalam),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Asyraf Wajdi memohon orang ramai mendoakan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang supaya ditemukan semula dengan selamat.

Beliau menerusi hantaran di media sosial berkata, doa orang ramai amat diharapkan supaya pelajar Siti Nur Aaira dan Nur Aisy Humaira kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top