Pelumba ATM terus bolot jersi utama hari kedua Jelajah NS 2024

Pelumba ATM terus bolot jersi utama hari kedua Jelajah NS 2024

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih mengekalkan kayuhan bertenaga apabila Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil muncul pemenang kategori individu pada peringkat kedua Jelajah Negeri Sembilan 2024, hari ini.

Dia berjaya sampai ke garisan penamat dalam perlumbaan membabitkan jarak sejauh 143.4 kilometer (km) dengan catatan masa tiga jam, 21 minit dan 21 saat, meninggalkan pesaing terdekat, Irwandie Lakasek dari Negeri Sembilan (3:21.21s).

Tempat ketiga individu milik Mohammad Saari Amri Abd Rasim dari pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan catatan 3:21.21s.

Bagaimanapun, pelumba kebangsaan dari ATM, Muhammad Nur Aiman Rosli masih terus mendominasi kedudukan apabila sekali lagi mengulangi pencapaian semalam dengan membolot Jersi Kuning selaku juara keseluruhan dengan catatan masa 6:02.28s.

Dia mengenepikan pelumba MPC, Akmal Hakim Zakaria di tempat kedua (6:02.41s) dan rakan sepasukan, Muhammad Zawawi Azman (6:02.42s) di tempat ketiga.

Nur Aiman turut memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut selepas berjaya mengumpul 33 mata meninggalkan Muhammad Zawawi (26 mata) dan Muhammad Saari Amri (MPC) dengan 25 mata.

Pemenang Jersi Merah selaku Raja Bukit pula menjadi milik Muhammad Zawawi (ATM) dengan 14 mata mengenepikan dua pencabar terdekat Akmal Hakim Zakaria dan Muhammad Fahmi Khairul dari MPC, selepas masing-masing meraih 10 dan lapan mata.

Sementara itu, Jersi Putih bertukar tangan apabila menjadi milik pelumba Buceros Cycling Team (BUC), Lau New Joe, yang mencatat masa 3:21.26s (6:04.10s).

Muhammad Zawawi menyifatkan pelumbaan hari ini sangat baik walaupun trek laluan beralun selain cuaca panas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top