am@hmetro.com.my
Temerloh: Dua pelajar sekolah maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, dekat Kampung Paya Pulai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata nahas berlaku kira-kira jam 8.20 malam, ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Chenor.
Menurutnya, ketika cuba memotong sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun, motosikal terbabit terlanggar bahagian kanan belakang kenderaan itu.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke lorong bertentangan dan sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 43 tahun dari arah Chenor ke Temerloh tidak sempat mengelak lalu terlanggar penunggang dan pembonceng motosikal terbabit.
“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. Identiti penunggang dikenali sebagai Muhammad Nazim Dzafran Mohd Faizul, berasal dari Indera Sempurna, Kuantan dan pembonceng, Muhammad Hafizuddin Abdullah, berasal dari Chenor, Maran, kedua-duanya berusia 17 tahun,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, penunggang motosikal terbabit tidak mempunyai lesen memandu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa Muhammad Hafizuddin, Mohamad Faizal Mohd Daud, 47, berkata anaknya keluar dari rumah kira-kira jam 6.45 petang semalam dan memaklumkan mahu ke masjid untuk solat Maghrib.
“Kira-kira jam 8 malam ada orang ambil telefon bimbit anak saya di lokasi kejadian dan menghubungi dan memaklumkan saya Muhammad Hafizuddin terbabit dengan kemalangan.
“Mereka sepatutnya ke kelas tambahan selepas solat Maghrib semalam tetapi dibatalkan,” katanya ketika ditemui di HOSHAS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




