am@hmetro.com.my
Langkawi: Peserta Langkawi Legendary Ride (LLR) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika sedang berkayuh pada perlumbaan berbasikal itu di sini, pagi tadi.
Mangsa, Low Beng Seng, 28, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam insiden berlaku pada 8.45 pagi di Jalan Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berbasikal bersama kumpulan pelumba kategori 68 kilometer (Eagle Ride) cuba mengelak daripada bergesel dengan peserta lain.
“Namun, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah hadapan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shariman berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Untuk rekod, LLR yang memasuki edisi kelima tahun ini menarik penyertaan 1,200 pelumba dari dalam dan luar negara.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 101km (Legendary Ride), 68km (Eagle Ride) dan 30km (Mahsuri Ride).
Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua RM800 dan ketiga RM600.
© New Straits Times Press (M) Bhd