Pemain PJ City FC, Selangor FC 2 digantung perlawanan

Pemain PJ City FC, Selangor FC 2 digantung perlawanan

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menggantung dua pemain pasukan bola sepak Liga Malaysia atas kelakuan tidak ada semangat kesukanan.

Dua pemain itu adalah Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan Pemain pasukan Selangor FC2, Hein Htet Aung.

Ahmad Khairil digantung dua perlawanan manakala Htet Aung digantung satu perlawanan sebagai hukuman tatatertib oleh FAM.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat kali pertama jawatankuasa itu bagi penggal 2021-2025 pada Rabu yang diadakan pada 24 Mac lalu.

“Ahmad Khairi menerusi hasil siasatan kami sejurus menerima aduan adalah dia melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lwn Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 10 Mac lalu.

“Oleh demikian jawatankuasa kami membuat keputusan dan mengambil tindakan pemain itu digantung dua perlawanan iaitu PJ City FC bertemu Terengganu FC pada 2 April ini dan Kuala Lumpur City FC 7 April ini 2021.

“Dia (Ahmad Khairil) didapati sengaja terjatuh di dalam kotak penalti dan memegang kaki seolah-olah telah dikasari oleh pemain lawan walaupun tiada pemain pihak lawan yang menyentuhnya dan ini telah mewujudkan situasi simulation.

“Pemain itu turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini tidak boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru hukuman penggantungan sama turut dijatuhkan ke atas Hein Htet di bawah Artikel kod tatatertib FAM yang sama kerana berkelakuan tidak ada semangat kesukanan semasa perlawana Liga Premier 2021 menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 6 Mac yang lalu.

Baljit Singh menambah siasatan ke atas pemain itu turut menjatuhkan hukuman digantung satu perlawanan iaitu menentang Perak FC II pada 2 April ini.

“Semasa perlawanan menentang PDRM FC pemain berkenaan mempamerkan simbol yang berbaur politik yang langsung tidak mencerminkan semangat kesukanan sekaligus membawa kepada tindakan tersebut.

“Pemain turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan hukuman ini tidak boleh dirayu,” tegasnya.

Sementara itu katanya, dua lagi pemain import turut dilibatkan dalam siasatan sama atas kelakuan yang sama.

Mereka adalah Pemain Kelantan FC, Jack Raymond Hindle dan Pemain Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves atas kesalahan melanggar artikel 59 kod yang sama.

Raymond didakwa berkelakuan sedemikian pada perlawanan Liga Premier menentang Perak FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 6 Mac yang lalu.

Manakala Alex Santos pula melakukan kesalahan sama pada perlawanan Liga Super 2021 menentang Melaka United FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada 10 Mac yang lalu.

“Mereka berdua bagaimanapun tidak digantung perlawanan sebaliknya diberikan amaran keras supaya tidak melakukan perbuatan ini lagi dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama selepas ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette