CCID Scam Response Center bantu siasat kes penipuan Macau Scam

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pusat sehenti dikenali CCID Scam Response Centre bagi memerangi jenayah penipuan panggilan atau Macau Scam.

Ia satu mekanisme PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Pengarah JSJK, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pusat ini telah ditubuhkan pada 15 Februari lalu bagi memudahkan orang ramai berhubung dengan polis bagi membuat pertanyaan-pertanyaan berkaitan jenayah tipu panggilan atau Macau Scam.

“Selain itu, pusat ini turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama kejadian penipuan daripada mangsa atau mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan Macau Scam.

“Seterusnya, ia juga membantu mendapatkan pengesahan oleh mereka yang menerima panggilan penipuan sama ada panggilan yang mereka terima benar-benar daripada pejabat kerajaan, pangilan penipuan macau scam atau panggilan daripada lain-lain kegiatan scam,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghubungi pusat itu melalui talian 03-261011559 dan 03-26101599 pada setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 12 malam.

Untuk rekod, menurut Zainuddin, sepanjang tahun 2019 sebanyak 5,725 kes telah dilaporkan dengan jumlah kerugian RM254,586,210.94.

Manakala, bagi tahun 2020 pula sebanyak 6,033 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM287,301,039.90.

Bagaimanapun, sehingga 24 Mac lalu sebanyak 1,392 kes dilaporkan dengan kerugian RM38,198,730.01.

“Ini merupakan peningkatan yang ketara dan jelas merupakan satu situasi yang perlu ditangani segera,”jelasnya.

Sehubungan itu, Zainuddin menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan ini bagi memastikan ancaman jenayah tipu panggilan dapat diatasi dan matlamat pencegahan dapat dicapai. -MalaysiaGazette