54 dikompaun, seorang direman ingkar SOP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Seramai 53 individu dikompaun manakala seorang direman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan semalam.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah seramai 25 individu gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan, 17 individu tidak memakai pelitup muka, enam kesalahan rentas negeri /daerah tanpa kebenaran, lima kesalahan tiada penjarakan fizikal dan lain-lain satu kes.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini berkata, operasi pemantauan itu meliputi 5,718 buah restoran, 4,609 buah pasar raya, 2,738 buah bank, 4,115 kawasan penjaja, 161 pasar awam/tani, 2,403 buah kilang dan 1,031 pejabat kerajaan.

Sementara itu, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap selain sembilan daripadanya telah diusir melalui tiga aktiviti pengusiran dalam Operasi BENTENG (Op BENTENG) yang dijalankan semalam.

Dalam operasi yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain itu juga, pihak berkuasa turut merampas dua (2) buah kenderaan darat serta dua (2) buah bot/kapal. – MalaysiaGazette