Bangkok: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas dipercayai melepaskan lapan das tembakan di sebuah sekolah di wilayah Kamphaeng Phet, di sini, semalam.
Memetik laporan The Nation, kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan guru dan murid panik sebelum berlari mencari perlindungan ketika pertukaran waktu kelas. Tiada kecederaan dilaporkan.
Polis dan sukarelawan penyelamat bergegas ke sekolah berkenaan sebelum berjaya mengawal keadaan dan menahan suspek.
Laporan awal memberikan gambaran berbeza mengenai arah tembakan. Pihak sekolah memaklumkan suspek melepaskan lapan das tembakan ke Udara manakala laporan dari lokasi kejadian menyebut terdapat kerosakan akibat peluru pada kereta seorang guru dan pintu kaca.
Polis turut menemukan kelongsong peluru berhampiran pondok kawalan keselamatan di pintu masuk sekolah selain kelongsong dan peluru yang belum ditembak berhampiran bangunan pendidikan jasmani.
Pengawal keselamatan sekolah berkata, suspek masuk melalui pintu hadapan sambil membawa pistol 9 milimeter (mm) dan melepaskan tembakan yang hampir mengenainya sebelum meneruskan masuk ke dalam kawasan sekolah.
Seorang guru pendidikan jasmani pula berkata, dia terdengar bunyi tembakan ketika murid sedang bertukar kelas sebelum memberi tumpuan untuk membawa mereka keluar dari lokasi kejadian.
Apabila berhadapan dengan suspek, guru berkenaan membantu memindahkan murid lain ke dalam auditorium untuk berlindung. Polis, petugas penyelamat dan pegawai pendidikan kemudian mengesahkan tiada murid, guru atau individu lain di sekolah itu mengalami kecederaan.
Suspek tidak menghadiri kelas sejak 21 Ogos lalu selepas diberi cuti ketika menerima rawatan kemurungan. Temu janji rawatan susulan perubatan dijadualkan pada 4 September.
Pihak sekolah sebelum ini menerima amaran mengenai potensi kejadian itu pada 19 Ogos selepas mengetahui suspek menghantar mesej kepada seorang rakan bahawa dia akan datang ke sekolah pada jam 10 pagi pada 20 Ogos untuk menimbulkan insiden. Suspek dan ibu bapanya kemudian dipanggil untuk perbincangan.
Dalam pertemuan itu, suspek menafikan berniat melakukan serangan dan mendakwa mesej berkenaan adalah sebahagian daripada perbualan ketika bermain permainan video. Insiden pada 2 September berlaku hampir dua minggu selepas pertemuan itu.
Pihak berkuasa kini menyiasat keadaan dan motif kejadian termasuk memeriksa senjata api, peluru yang belum ditembak serta bahan bukti yang ditemukan di kawasan sekolah. Nama suspek dan sekolah tidak didedahkan.
Pihak sekolah menggantung sesi pengajaran fizikal di lokasi selama dua hari dan memindahkan kelas secara dalam talian sepanjang tempoh berkenaan.
Pegawai berkata, peraturan keselamatan akan disemak semula sebelum murid kembali mengikuti pembelajaran di bilik darjah seperti biasa manakala sokongan psikologi dan kebajikan disediakan kepada mereka yang terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd

