sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez Alcaniz tidak menolak kemungkinan sikap memandang rendah kemampuan Kelantan City antara faktor yang menyumbang kekalahan pasukan 0-2 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA, malam tadi.
Daniel mengakui pasukan tidak memberikan penghormatan sewajarnya kepada pasukan lawan yang mempamerkan disiplin lebih tinggi dan memanfaatkan aksi di laman sendiri.
Kelantan City mengejutkan pasukan Liga Super itu seawal minit ke 7 hasil tandukan Ahmad Nazri Muhamad sebelum Emmanuel Ikechukwu menggandakan kelebihan minit ke 83.
“Realitinya Kelantan (city) bermain lebih baik daripada kami, mereka berhak menang, kami bermain bukan sangat teruk tetapi mungkin kami terlalu yakin, tidak menghormati lawan sepertimana mereka sepatutnya dihormati.
“Cara bermain kami tidak mudah, jika diambil kira faktor cuaca (hujan), juga tidak membantu, kami berhak kalah dan mereka (Kelantan City) berhak menang,” katanya selepas sidang media tamat perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, di sini.
Daniel berkata, status pasukan Liga A1 tidak sepatutnya menjadi ukuran kerana mereka bermain 11 pemain dan ditentukan mentaliti dan prestasi pemain.
Beliau berkata, sikap pemain adalah paling utama, pemain mempunyai kualiti dan pasukan akan memberikan persembahan lebih baik pada aksi timbal balik di Paroi.
Bagi pembantu jurulatih Kelantan City, Wanderley Machado Da Silva pasukan sentiasa bersedia menghadapi lawan tanpa mengira status atau kedudukan lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
