KOTA BHARU – Kerjasama antara UMNO dan Pas perlu dimeterai secara lebih kukuh dan tidak lagi sekadar berlegar pada peringkat rundingan serta muafakat, kata Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan agenda penyatuan umat Islam dapat diperkukuhkan ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran dan perpecahan.
Jelasnya, kerjasama itu juga tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut kepentingan UMNO dan Pas semata-mata, sebaliknya melibatkan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
“Selama ini kita hanya berunding dan berunding, bermuafakat dan bermuafakat, serta bekerjasama dalam bentuk sedemikian sahaja.
“Kita berharap pada masa akan datang kerjasama itu dapat dimeterai kerana ia bukan sahaja demi kepentingan UMNO dan Pas, tetapi juga seluruh umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 di sini pada Khamis.
Dusuki berkata, keadaan semasa yang disifatkannya sebagai dunia terbuka menjadikan penyatuan semakin penting bagi memastikan kekuatan umat Islam terus dipelihara.
Menurut beliau, usaha memperkukuh kerjasama itu merupakan satu ijtihad yang baik dan wajar didoakan agar mendapat keberkatan serta membuahkan hasil.
“Saya merasakan ijtihad yang dilakukan hari ini melalui penyatuan dan kerjasama pada masa hadapan adalah sesuatu yang amat baik.
“Ia merupakan perkara yang perlu didoakan agar pemimpin-pemimpin pada masa akan datang melihat hal ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan keutamaan,” katanya.
Tambah beliau, usaha penyatuan berkenaan perlu diteruskan dalam jangka panjang dan tidak terhenti disebabkan kepentingan politik semasa.
Katanya, pengukuhan hubungan antara kedua-dua parti juga penting bagi memastikan agenda penyatuan umat Islam mempunyai kesinambungan pada masa hadapan.