Pemain TFC II, Penang FC bergaduh di Kuala Terengganu

Pemain TFC II, Penang FC bergaduh di Kuala Terengganu

bhsukan@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam tadi dicemari insiden pergaduhan antara pemain.

Insiden pada minit ke-45 itusekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin.

Aksi panas itu bermula selepas sepakan penalti skuad Harimau Kumbang yang diambil kapten pasukan, Endrik Dos Santos gagal disempurnakan pemain kelahiran Brazil itu.

Susulan itu berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad yang tangkas mempertahan gawangnya daripada dibolosi.

Akibatnya berlaku pergaduhan dan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang.

Rentetan itu, seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra’op mengalami kecederaan.

Selepas pergaduhan itu, perlawanan yang terhenti kira-kira 45 minit ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil

Berikutan itu pasukan ‘adik’ TFC II dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu edisi kedua selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top