Pemandu 'bas pink' terbabit kemalangan ditahan polis

Pemandu 'bas pink' terbabit kemalangan ditahan polis

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Polis menahan pemandu bas henti-henti terbabit nahas dengan kereta yang meragut nyawa seorang lelaki di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu di Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu sudah menjalani saringan air kencing di Bahagian Narkotik Alor Gajah dan disahkan negatif selain dia jaga tiada rekod jenayah dan saman trafik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku 4.55 petang di Lebuh AMJ dekat Taman Awan Biru, di sini, membabitkan bas dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke jalan AMJ dan kereta dipandu Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang juga pekerja sub kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari arah Rembia.

“Tiba di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum dirempuh bas dari belakang.

“Pelanggaran itu menyebabkan Muhammad Aiman tercampak keluar dari kereta dan terjatuh di dalam longkang hingga cedera parah di kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin,22, cedera,” katanya.

Ashari berkata, pemandu bas dan penumpang wanita, 53, tidak cedera.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat rakaman papan pemuka bas berkaitan kemalangan maut itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top