Bristol, England: Seorang pemandu bas wanita mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya selepas dituduh melepaskan kentut berbau busuk sehingga menyebabkan rakan sekerjanya terpaksa membasuh pakaian seragam, lapor Metro.co.uk.
Stephanie Bryan, pemandu bas elektrik syarikat The Big Lemon didakwa melepaskan kentut yang kuat ketika bertugas.
Tribunal diberitahu bahawa rakan sekerjanya, Samantha Bingham menyedari bau busuk yang masih melekat sebaik memulakan syif dan duduk di kerusi pemandu yang sama.
Bingham kemudian membuat kesimpulan bahawa Bryan mungkin terbuang air besar.
Sebaik pulang ke rumah, pasangan Bingham turut menghidu bau busuk berkenaan dan bertanya sama ada Bingham membuang air besar.
Bingham kemudian terpaksa membasuh pakaian seragamnya dan segera mandi bagi bagi menghilangkan bau berkenaan.
Apabila ditegur rakan sekerjanya itu, Bryan mempertahankan dirinya dengan berkata, “Semua orang perlu kentut dan melepaskan gas.”
Tribunal turut diberitahu bahawa Bryan bertindak balas secara negatif terhadap tuduhan itu dan menunjukkan sikap bermusuhan secara peribadi walaupun Bingham benar-benar bimbang dan mempunyai alasan munasabah untuk berasa demikian berdasarkan situasi yang dialaminya.
Bingham melaporkan perkara itu kepada pengurusnya sebelum isu kebersihan peribadi dibangkitkan secara tertutup dalam sesi penilaian prestasi Bryan yang dijalankan secara tertutup.
Bryan yang menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan mulai September 2024 akhirnya diberhentikan kerja selepas tempoh itu dilanjutkan hingga Januari 2025 berikutan kebimbangan terhadap prestasinya.
Susulan itu, Bryan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali bas berkenaan atas dakwaan diskriminasi terhadap orang kurang upaya dan gangguan dengan mendakwa dia didiskriminasi kerana masalah pundi kencing.
Bagaimanapun, Hakim Tribunal Pekerjaan Jonathan Walters menolak tuntutan itu pada Ogos lalu selepas mendapati aduan berkenaan tidak berkaitan dengan masalah kesihatan Bryan.
Walters memutuskan bahawa Bryan diberhentikan kerja kerana mutu pemanduannya yang tidak memuaskan sehingga gagal menamatkan tempoh percubaan dengan jayanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




