Pemandu lori didenda pindah babi hidup tanpa kebenaran

ALOR SETAR: Seorang pemandu lori didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah memindahkan babi hidup tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau mana-mana pihak berkuasa veterinar pada Februari lalu.  

Majistret, Nurshahida Abdul Rahim turut memerintahkan supaya tertuduh, K. Punithanathan, 56, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan sebanyak 42 ekor babi hidup menggunakan sebuah lori di sebuah premis No. 57, Batu 7 1/4, Jalan Tokai, Simpang Empat dekat sini yang termasuk dalam Pewartaan Perintah Kawasan Kawalan pembasmian penyakit kuku dan mulut negeri Kedah 2006.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.20 pagi, 5 Februari lalu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Kedah, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pemandu lori itu didakwa mengikut Perintah (a) Kawasan Kawalan Pembasmian Penyakit Kuku dan Mulut negeri Kedah 2006 (Warta KPU1) Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Terdahulu Tuan Anuar memohon supaya tertuduh dijatuhi hukuman berat dan setimpal agar kes tersebut menjadi pengajaran tidak hanya kepada tertuduh, malah kepada masyarakat untuk terus mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Pihak jabatan memandang serius dan berusaha keras memastikan wabak penyakit tidak menular serta merebak dengan banyak wang telah dihabiskan bagi tujuan itu.

“Jika penyakit merebak dan tidak dapat dikawal, itu akan mendatangkan risiko kepada haiwan lain, manusia dan kesejahteraan awam. Penularan penyakit zoonotik ini juga boleh menyebabkan risiko kelumpuhan ekonomi negara yang bergantung kepada penternakan untuk pasaran eksport,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh kemudian membayar denda terbabit dan dilepaskan. – UTUSAN ONLINE