Pemandu lori mengaku rogol anak angkat, tak mahu ikat jamin

Pemandu lori mengaku rogol anak angkat, tak mahu ikat jamin

am@hmetro.com.my

Muar: “Saya tak mahu ikat jamin,” itu reaksi pemandu lori dalam rayuannya ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak angkatnya, di Batu Pahat, bulan lalu.

Tertuduh berusia 63 tahun yang sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Selepas membuat pengakuan itu, mahkamah bertanyakan tertuduh sama ada mahu membuat rayuan atau tidak berkaitan ikat jamin memandangkan pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak hasil dua perkahwinan didakwa merogol anak angkatnya berusia 13 tahun di rumahnya di Batu Pahat, pada waktu malam, sekitar Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa adalah anak angkat kepada tertuduh yang mana dia dijaga sejak lahir.

Tertuduh didakwa mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan terkutuk ketika isterinya sedang tidur di tingkat atas rumah terbabit.

Selepas kejadian itu, mangsa hanya berdiam diri namun menceritakan perkara itu kepada gurunya yang kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Satu laporan polis dibuat oleh JKM di Balai Polis Yong Peng untuk tindakan lanjut dengan tertuduh ditahan selepas menyerah diri bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Kanan, Muhammad Zuwairi Md Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 21 Ogos ini untuk fakta dan hukuman tertuduh.

#kw rogol, anak angkat, pemandu lori, mengaku, pelajar, mahkamah, rayuan, ikat jamin

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top