Pemandu lori rentung dalam kemalangan babitkan tiga lori

MELAKA – Seorang lelaki rentung apabila lori 10 tan yang dipandunya merempuh sebuah lori tangki muatan cecair nitrogen sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer (KM) 221 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Pedas-Linggi arah selatan, kira-kira 5.30 pagi tadi.

Dalam insiden kemalangan membabitkan tiga lori tersebut, mangsa, Mohamad Syazwan Mohd Ramli, 29, maut manakala kedua-dua lori terbabit terbakar hampir 90 peratus.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Ayer Keroh dan Rembau, Negeri Sembilan tiba di lokasi pada 6.26 pagi dan operasi memadamkan api tamat sepenuhnya pada 8.23 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu dalam satu kenyataan memaklumkan menerima laporan insiden tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan bermula apabila treler bermuatan plastik dari arah Kedah menghala ke Batu Pahat, Johor dilanggar dari belakang oleh lori tangki muatan cecair nitrogen dari arah Ipoh menghala ke Melaka sekitar 4 pagi.

“Sekitar 5.30 pagi, lori yang dipandu mangsa dari arah Shah Alam menghala ke Johor tiba di lokasi kejadian, telah melanggar belakang lori tangki muatan cecair nitrogen tersebut dan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat. Sementara dua lagi pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya. – Bernama