Pemandu lori sakit jantung: Ramai gesa waris mangsa saman si perakam video

Kecoh di media sosial hari ini apabila seorang pemandu lori didakwa mabuk selepas kenderaan dipandunya gagal dikawal sebelum merempuh tiga kenderaan lain di Jalan BRP 8/2, Sungai Buloh, semalam.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, rupa-rupanya pemandu lelaki itu mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada hari sama di Hospital Sungai Buloh.

Justeru berhubung dakwaan tersebut, seorang pengguna laman Facebook dikenali sebagai Uzreen Kassim dipercayai mahu menjadi ‘orang tengah’ bagi menawarkan khidmat guaman buat waris keluarga mangsa bagi melakukan saman fitnah terhadap perakam video berkenaan.

Menurut Uzreen, dia menyifatkan perakam yang dipercayai seorang wanita itu tergamak menuduh mangsa memandu dalam keadaan mabuk, sedangkan Allahyarham terpaksa menahan kesakitan sehingga tidak mampu berkata-kata.

“Terus merakam dan membuat tuduhan. Abang pun pemandu lori juga. Fitnah di akhir nyawa memang abang tak boleh terima.

“Jadi abang nak minta bantuan korang, sesiapa yang mengenali keluarga arwah ni boleh mesej abang untuk beri bantuan,
“…dan juga abang nak bincang untuk tawarkan bantuan guaman untuk saman si perakam video ni,” tulisnya petang tadi.

Malah, tinjauan di beberapa posting oleh warganet lain turut meluahkan pendapat sama dengan menggesa supaya waris keluarga mangsa mengambil tindakan undang-undang di atas apa yang berlaku.

Sementara itu, seorang lagi warganet Azrul Aziz Az mendakwa sehingga kini, wanita terbabit belum tampil melakukan permohonan maaf terhadap ahli keluarga Allahyarham berhubung kejadian tersebut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Facebook Polis Daerah Sungai Buloh & Carian