am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki warga Singapura dan kecederaan dua individu dalam kemalangan di Permas Jaya, Ahad lalu.
Tertuduh I Muniandy @ Ang Ah Leang, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut pertuduhan pertama, Muniandy didakwa memandu lori di bawah pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Mohamad Noah Soliqin Mohamad Khairuz, 7.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, di sini, kira-kira jam 10.10 malam pada 16 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memandu kenderaan itu di bawah pengaruh dadah dan gagal mengawalnya sehingga mendatangkan kecederaaan terhadap Mohamad Khairuz Bahrawi, 44, dan Lina Yulianti, 38, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnam Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuan memohon hukuman diringankan kerana menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua cucu dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain lapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, larangan mengganggu saksi, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 23 April depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




