Pemandu maut dihempap lori dipandunya

Pemandu maut dihempap lori dipandunya

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Pemandu lori maut selepas dihempap lori di tapak pembinaan dekat Antara Gapi di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, mangsa berusia 36 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, siasatan mendapati lori 10 tan yang membawa muatan tanah itu untuk tujuan tambak di kawasan pembinaan terbabit.

“Selepas selesai mengeluarkan semua muatan tanah, kenderaan berat terbabit tiba-tiba condong dan terbalik ke sebelah kanan.

“Mangsa bertindak melompat keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri namun tidak sempat sebelum dihempap lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori selama dua tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mohd Asri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top