Pemandu maut kereta rempuh motosikal dan tunggul kayu

Pemandu maut kereta rempuh motosikal dan tunggul kayu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tunggul kayu dan sebuah motosikal yang diparkir di bahu jalan, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 3.55 pagi berhubung satu kemalangan maut membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 di Jalan Mengabang Lekar, Kuala Nerus, di sini.

Katanya, difahamkan kereta Proton Saga yang dipandu Che Mohd Hquzai Ali, 39, itu dari arah Merang, Setiu, menghala ke rumahnya di Kampung Maras.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta Proton Saga sedang bergerak terus dan tiba di tempat kejadian dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar motosikal berkenaan yang parkir di bahu jalan sebelah kiri sebelum terbabas dan melanggar tunggul kayu pula.

“Kemalangan itu menyebabkan Che Mohd Hquzai dari Kampung Maras, Batu Rakit, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala

penumpang hadapan kereta yang berusia 45 tahun cedera ringan di muka dan

penumpang belakang berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang berusia 18 tahun mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top