Pemandu teksi ditahan, disyaki rogol lebih 50 wanita

Pemandu teksi ditahan, disyaki rogol lebih 50 wanita

Tokyo: Seorang bekas pemandu teksi di Jepun ditahan polis selepas disyaki merogol dan merakam perbuatan keji terhadap sekurang-kurangnya 50 wanita dengan memberi mereka ubat tidur sebelum menyerang mangsa di dalam kenderaannya atau di rumah.

Laporan media tempatan termasuk Yomiuri Shimbun dan Jiji Press mendedahkan pihak polis menemukan kira-kira 3,000 rakaman video dan imej yang menunjukkan suspek melakukan serangan seksual terhadap puluhan wanita berbeza.

Jurucakap Polis Tokyo memaklumkan, dalam kejadian tahun lalu, lelaki berusia 54 tahun itu memberikan sejenis pil tidur kepada seorang wanita berusia 20-an dengan alasan prihatin terhadap kesihatannya.

Akibatnya, mangsa tidak sedarkan diri dan seterusnya dibawa ke sebuah kediaman untuk diperkosa dan aksi itu dirakamnya.

“Suspek ditahan Rabu lalu atas tuduhan melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan dan melanggar undang-undang berkaitan rakaman bahagian sulit,” katanya.

Menurut penyiar nasional NHK, lelaki itu dipercayai memberi air dan pil kepada mangsa di dalam teksi, dengan alasan mahu membantu, namun sebenarnya mengandungi bahan pelali.

Siasatan turut mengesahkan terdapat kesan ubat tidur pada rambut mangsa.

Lebih mengejutkan, bahan bukti dalam telefon bimbit dan beberapa peranti lain menunjukkan perbuatannya bermula sejak 2008.

Media turut melaporkan suspek pernah ditahan pada Oktober lalu selepas disyaki memberi ubat pelali kepada seorang wanita lain sebelum merompak wang tunai 40,000 yen (kira-kira RM1,187) milik mangsa.

Bagaimanapun, dia dibebaskan sementara, sebelum kembali ditahan Disember lalu atas tuduhan serangan seksual.

Pihak berkuasa kini memperluaskan siasatan kerana bimbang jumlah mangsa sebenar lebih ramai daripada yang dilaporkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top